PERAK MAN
PANDANGAN HADAPAN
PANDANGAN SISI
PANDANGAN SISI
PANDANGAN BELAKANG
MIMIK MUKA PERAK MAN
Manusia Perak (Perak Man) adalah rangka manusia yang tertua pernah dijumpai di Malaysia. Perak Man dijumpai di dalam Gua Gunung Runtuh di Bukit Kepala Gajah, Lenggong, Perak, Malaysia. Ia dijumpai pada tahun 1991 hasil penyelidikan yangijalankan oleh Malaysian Archaeological Research Centre, Universiti Sains Malaysia dengan Kerjasama Jabatan Muzium Malaysia. Hasil dari kajian dan penyelidikan yang dijalankan mendapati Perak Man adalah rangka manusia yang telah berusia diantara 10 000 hingga 11 000 tahun.
Rangka Perak Man telah pun dipindahkan dari Gua Gunung Runtuh ke Muzium Arkeologi Lenggong dan diletakkan dalam kedudukan asalnya sebagaimana ia ditemui.
Perak Man adalah lelaki yang tergolong dalam kelompok manusia Australomelanesoid. Menjalani kehidupan bersama beberapa kelompok manusia prasejarah lebih kurang 10 000 tahun yang lalu dengan menjadikan gua sebagai tempat berteduh. Aktiviti utama Perak Man ialah memburu, memungut bahan-bahan yang boleh diperolehi daripada hutan dan sungai untuk menjalani kehidupannya.
Perak Man telah meninggal dunia sewaktu berumur antara 40-45 tahun. Ia telah dikebumikan dengan upacara atau adat tradisi kaumnya dengan posisi foetal, iaitu kedua kakinya berlipat ke arah dada. Ia juga dikebumikan bersama dengan beberapa peralatan yang diperbuat daripada batu dan beribu-ribu siput sungai. Ketinggiannya dianggarkan dalam 154cm-160cm. Perak Man adalah rangka tulang manusia hampir penuh yang ditemui di Asia Tenggara dan merupakan tulang prasejarah yang mempunyai kecacatan genetik yang dikenali sebagai Brchymesophalangia.
Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut sejarah penemuan rangka manusia prasejarah ini bolehlah berkunjung ke Muzium Arkeologi Lenggong yang terletak di Daerah Lenggong, Perak, Malaysia.